Friday, May 14, 2010

MUTIARA IMAN



BEKERJA GIGIH UNTUK BAHAGIA


Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda : Firman ALLAH SWT : “ AKU sediakan untuk hamba-hambaKU yang soleh suatu yang tidak pernah dipandang dengan mata, tidak pernah didengar dengan telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim)


ULASAN HADIS :


1.        Setiap orang Islam akan merindui kehidupan bahagia dengan nikmat yang berterusan, ketika hidup di dunia mahupun di akhirat. Semua mengimpikan kebahagiaan dan kesenangan. Justeru, siang malam kita bekerja gigih mencari harta untuk menikmati kebahagiaan hidup di dunia.


2.        Dalam masa yang sama, ada juga diantara kita siang dan malam mencari kebahagiaan untuk kesenangan dan keselamatan hidup di akhirat dengan mengerjakan amal ibadah.


3.        Kebahagiaan hidup di dunia dapat dirasai ketika di dunia, tetapi kebahagiaan akhirat hanya ALLAH yang tahu. Kemampuan kita melakukan kerja dan amalan di dunia ini ialah dengan cara melakukan dan mengerjakan amalan diperintahkan dan menjauhi larangan ALLAH.


4.        Setiap amalan yang kita lakukan hendaklah dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana ALLAH. Kita hendaklah meletakkan akhirat sebagai matlamat, agar tercapai segala matlamat kita di dunia. Kita hanyalah hambaNYA yang serba lemah dan dhaif. Kita merindui syurga di akhirat. Itulah sebenar-benarnya kebahagiaan bagi kita umat Islam.


5.        Kebahagiaan hidup di akhirat jauh lebih nikmat dan indah berbanding kebahagiaan hidup di dunia. Kebahagiaan hidup di dunia hanyalah sementara, kebahagiaan yang kekal buat selama-lamanya apabila berada dalam syurga. Sesungguhnya kehidupan di syurga tidak terucap dengan kata-kata betapa bahagia dan nikmatnya. Syurga itu mempunyai tingkatannya. Semakin tinggi tingkatannya, maka semakin luas dan banyak pula kenikmatannya. Tidak salah hari ini kita merindui syurga, akan tetapi merindui saja tidak memberi apa-apa makna jika tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.


6.        Merindui syurga adalah cita-cita tertinggi seorang mukmin sejati. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu meminta kepada ALLAH, maka mintalah syurga Firdaus sebab ia adalah pertengahan syurga dan tempat yang paling tinggi di syurga.” (Hadis riwayat Bukhari, Termidzi dan Ahmad)


7.        Bagi meraih syurga yang dicitakan itu, seharusnyalah mulai saat ini kita bersungguh-sungguh beramal dan tunduk kepada Rabbul Alamin. Perteguhkan iman dari semasa ke semasa dan waktu yang sama tingkatkan lagi darjah ketakwaan kepada ALLAH.


8.        Mohonlah pertolongan kepada ALLAH semoga ALLAH memimpin hati kita setiap masa suka melakukan kebaikan dan benci melakukan kejahatan serta kemungkaran.
MUTIARA IMAN

No comments:

Post a Comment