Thursday, March 10, 2011

JANGAN BERHENTI BERKENALAN : Buat renungan suami isteri

PERCERAIAN

Buat kesekian kalinya, usai membaca satu berita dari laman Berita Harian Online bertarikh 6 Oktober 2010 semalam, saya melepaskan satu keluhan yang cukup berat dan dalam. Membaca tajuk berita sahaja sudah cukup meresahkan jiwa. Masakan tidak, kandungan yang dipapar menggambarkan betapa gawat dan runcingnya institusi perkahwinan di kalangan masyarakat Islam dewasa kini.

Walaupun latar tempat dan negara di mana kes perceraian tersebut dilaporkan, bukan berlaku di Malaysia, namun, oleh kerana ia juga merupakan salah sebuah negara umat Islam, saya tetap merasa bimbang dan tidak senang. Berita tersebut melaporkan :



“Kadar perceraian tinggi di Kuwait dilaporkan berterusan
selepas pihak berkuasa mendakwa 3,153 kes perceraian dicatatkan sepanjang enam
bulan pertama tahun ini.

Jumlah keseluruhan perceraian dicatatkan 5,965
kes, tahun lalu. Sementara itu, bilangan perkahwinan pula menurun selepas pihak
berkuasa mencatatkan 6,914 perkahwinan pada enam bulan pertama tahun ini
berbanding 14,155 pada 2009.

Bilangan perkahwinan dan kes perceraian menjadikan
kadar perceraian 42 peratus, antara yang tertinggi di dunia. ”


Keadaan ini mengingatkan saya kepada emel-emel yang menceritakan masalah rumahtangga yang sedang dialami oleh kebanyakan pasangan suami isteri di Malaysia hari ini. Rata-rata emel yang saya terima datangnya dari kaum hawa. Ada yang mengadu suami bertemu cinta yang baru, tidak kurang juga yang merintih bila suami yang disayangi, tiba-tiba beralih kasih.

Demikian juga paparan di dada-dada akhbar yang mengenengahkan berita/kes perceraian terutama di kalangan artis, selebriti dan golongan kenamaan. Hampir saban hari.

Sungguhpun mereka menyatakan, mahligai rumahtangga yang mereka dirikan bermula dengan rasa cinta dan suka, bahkan banyak juga pasangan yang mengakui amat menyintai pasangan masing-masing malahan sebahagiannya sudah memasuki gerbang seabad hidup bersama sebagai suami isteri, tetapi rumahtangga yang dibina atas dasar cinta ini tetap roboh bila berlaku sedikit sahaja perubahan seiring usia dan peredaran masa.

Mengapa?

SALING MENGENALI
Saya yakin, mana-mana pasangan yang telah menempuh alam perkahwinan beberapa tahun lamanya pasti mengakui dengan penuh sedar bahawa cinta bukanlah segalanya di dalam rumahtangga.

Sungguhpun kalimah cinta sebelum pernikahan banyak menjadi penyebab bertautnya jiwa uda dan dara untuk melayari bahtera rumahtangga melalui pernikahan, namun ia tidak akan dapat bertahan lama andai tiada usaha dilakukan bagi memastikan bunga-bunga cinta yang telah bersemi di awal perkahwinan itu terus berkembang indah, hidup subur dan mewangi sentiasa.

Tempoh hidup bersama memungkinkan suami dan isteri untuk masing-masing lebih mengenali. Sejak awal usia perkahwinan, dari sehari ke sehari semakin banyak maklumat tentang pasangan yang dapat diketahui; kelebihan dan kekurangannya, sifat dan tingkahlaku, juga perubahan watak dan reaksi pasangan terhadap sesuatu situasi yang berlaku.

Semua itu merupakan satu proses di dalam rumahtangga. Andai sebelum berkahwin, peratusannya mungkin hanya sekitar 30%, namun sebaik melangkah ke alam rumahtangga, peratusan itu pasti meningkat dari semasa ke semasa.
Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Justeru itu, ramai pasangan suami atau isteri hari ini yang mendakwa sudah cukup masak dengan sikap dan perangai pasangan masing-masing.

“Luar dalam, semua dah tahu.” Demikian ungkapan yang selalu diwarwarkan.


PERUBAHANSikap ‘beranggapan’, mengagak atau menyangka bahawa suami atau isteri sudah mengenali pasangan masing-masing di depan mata adalah umpama racun yang boleh menghakis sedikit demi sedikit keharmonian dan keutuhan rumahtangga.

Hal ini kerana setelah proses mengenali mulai sampai ke tahap kemuncak, kesilapan mula terjadi. sesudah masing-masing mulai merasakan mereka telah saling mengenali, telah mencerna erti faham memahami di antara suami dan isteri, mereka bagaikan berhenti dari terus mengenali.

Sedangkan, di fasa pertengahan perkahwinan, ia merupakan satu tahap yang memerlukan suami dan isteri untuk lebih aktif dan pro-aktif mengenali dan memahami pasangan. Ini kerana ujian kehidupan dengan tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan semakin besar dan mencabar. Dan inilah salah satu punca yang mencetus perbalahan suami isteri setelah sekian lama melayari bahtera bahagia.

Sewajarnya, setiap pasangan perlu memahami dan menyedari bahawa pada awal perkahwinan, perasaan cinta dan rindu yang menguasai ketika itu hanyalah bersifat ‘kosmetik’ dan sementara sahaja, kerana ia belum diuji dan teruji. Rasa cinta pada fasa pertama itu hanya menggebu dengan diwarnai oleh sikap 'ingin dimiliki dan memiliki' terhadap pasangan masing-masing semata.

Manakala cinta yang menjalar secara perlahan-lahan seiring proses mengenali pasangan di sepanjang pelayaran bahtera perkahwinan, sangat berpotensi untuk lebih kekal dan kian mengental andai ditanggapi secara bijaksana, lantaran ia tumbuh dari ujian dan cabaran yang berencam bentuknya. Dari perasaan benci dan kasih yang bersilihganti, tawa dan tangis yang menambah makna yang akhirnya bersebati menjadi kasih sayang, menyemai kemesraan, rasa percaya sehingga menatijahkan hubungan yang bahagia, saling mengasihi dan menghargai.


MANUSIA BERUBAHHakikatnya, sangat sukar menemui seseorang yang dapat kekal dengan 'diri' yang sama selama hayatnya. Pertambahan usia, pengalaman hidup, perubahan persekitaran dan pertemuan dengan individu lain baik yang menjadi teman, rakan sekerja, jiran tetangga dan lain-lain mampu mengubah seseorang kepada ‘individu’ yang baru iaitu dengan merujuk kepada cara berfikir, keperibadian, kehidupan sosial bahkan sehingga gaya penampilan, cara bercakap dan seremeh panggilan nama juga turut mengalami perubahan.

Keadaan inilah yang memerlukan suami atau isteri untuk sentiasa ‘up-to-date’ terhadap pasangannya. Jika lalai, leka dan memandang sebelah mata sahaja, maka sudah pasti sebarang perubahan yang berlaku akan menular menjadi satu masalah yang menggugat keharmonian rumahtangga, lebih-lebih lagi jika perubahan itu ketara menjurus ke arah negatif dan tidak selari dengan tuntutan ILAHI.

Oleh itu, sebelum meletakkan 'orang ketiga' sebagai punca perbalahan, sudah takdir dan tiada jodoh menjadi alasan, lakukan muhasabah diri terlebih dahulu. Andai diimbal balik sebab dan punca sebenar masalah yang berlaku kemungkinan ia bermula dari kelekaan untuk mengenali dan memahami pasangan.

Insafilah selalu, bahawa setiap manusia sememangnya diciptakan berbeza (termasuk suami isteri) dengan manfaat dan ruang untuk bertaaruf ( saling mengenal ) di antara mereka. Firman ALLAH SWT :



يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى
وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ
اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ٌ


Maksudnya : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami (ALLAH) telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (TA’ARUF). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” ( Surah Al-Hujurat ayat 13 )

Seiring berlalunya waktu, kehidupan di dalam perkahwinan akan beransur menjadi suatu rutin yang biasa, dengan suami atau isteri merasa bahawa seharusnya pasangannya sudah tahu apa yang diinginkan oleh diri masing-masing.

Pada saya, tanggapan ini kurang tepat. Seharusnya, suami dan isteri tetap perlu terus mengenali khususnya melalui komunikasi yang lancar dan saling terbuka. Sentiasa berkongsi cerita, serta menyatakan keinginan tanpa perlu berahsia, seterusnya berusaha untuk saling mengoptimumkan kelebihan masing-masing demi kerukunan perhubungan di samping tidak lupa memuhasabah kekurangan yang ada dan bersedia menerima kesilapan sendiri tanpa memanjangkan perdebatan atau merasa sakit hati.


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

Wednesday, March 9, 2011

HATI YANG PALING INDAH




Sehingga saat ini, saya masih termenung panjang tatkala mengulang baca sebuah sajak yang baru saya siarkan dua hari yang lalu.

CINTA 100%.

Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk ayah ibumu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu pada suamimu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk anak-anakmu?
Pasti jawapanku 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu untuk saudara seakidahmu?
Pasti jawapanku, 100%.

Andai mereka bertanya, lalu berapa pula peratus cintamu untuk dirimu sendiri?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai mereka keliru lantas tertanya-tanya, masakan begitu?
Bukankah setelah dibahagi, cinta itu pasti berkurang peratusannya?
Pasti jawapanku, beserta senyum malu-malu,
Ada satu di dunia ini, walau dibahagi seberapa banyakpun, ia tetapkan sama..
Tidak berkurang walau sedikitpun,
Itulah CINTA…

Anugerah paling berharga dari Yang Maha Esa.

KETIDAKADILAN
Saya akui, dalam melewati pertengahan usia tiga puluhan ini, dari sehari ke sehari kian kerap saya mengimbas pengalaman masa lalu, mengutip pengajaran dari kehidupan, terutama kenangan-kenangan yang pahit dan mencabar. Yang banyak merobek hati dan menitiskan airmata kepedihan.

Walau siapa pun saya, saya tetap seorang manusia biasa yang adakalanya tewas dengan emosi sendiri. Dan saya yakin, tiada seorang pun yang terkecuali dari mengalami situasi ini.

Telah banyak kita membaca, mendengar dan menyaksikan, bagaimana sebahagian orang mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada anak-anak; makan minumnya dijaga rapi, pakaian, permainan, hiburan dan segala yang diinginkan oleh si anak dari kecil hingga menginjak dewasa diberi tanpa banyak soal.

Namun, bila melihat sikap si anak yang bagai melupakan budi orang tua, mereka kecewa. Limpahan kasih mereka kepada si anak dibalas dengan curahan kata-katanya yang menyakitkan, memberontak, tidak mendengar nasihat dan seumpamanya.

Berapa ramai pula para isteri yang meluah masalah, telah melakukan yang terbaik untuk suami tercinta. Memasak makanan kesukaannya, menatahias kediaman mereka agar bersih dan selesa, membasuh dan menyediakan pakaiannya, mengasuh dan mendidik anak-anak sewaktu ketiadaan suami di rumah, berusaha menenangkannya saat suami berhadapan masalah, merawat kesakitannya dan lain-lain khidmat bakti seorang isteri buat suami yang dikasihi.

Namun, bila satu-satu ketika, isteri juga memerlukan perhatian serupa, suami bagaikan tidak perasan, lebih bersikap acuh tak acuh dalam mempamerkan penghargaan. Lalu, isteri makan hati dan merajuk kerana merasa dirinya tidak dihargai dan disayangi.

Demikian seterusnya, suami menjeruk rasa terhadap isteri, rakan sesama rakan, jiran antara jiran, pendakwah terhadap mad’unya, kakitangan bawahan terhadap majikan/pihak atasan mereka dan lain-lain lagi.

Di satu pihak mereka merasa hanya banyak memberi, tetapi tidak terlalu kerap menerima.

Terbit justifikasi, adilkah keadaan sebegini?
KISAH SEKEPING HATI
Suatu ketika, seorang pemuda yang tampan berdiri di tengah-tengah kota dan mendakwa bahawa dia memiliki sekeping hati yang paling cantik. Lalu diangkat hatinya setinggi yang boleh agar kilauan dari hati yang indah itu dapat dilihat oleh orang lain di sekitarnya.

Tersebar bicara kekaguman orang ramai. Sememangnya hati pemuda itu, tiada cacat celanya. Tidak carik walau sedikitpun. Permukaannya licin sempurna. Warnanya juga segar dan menyerlah pesona seorang anak muda.

Pemuda tampan itu mulai merasa bangga dengan pujian yang diterima. Sorakannya semakin kuat mewar-warkan betapa indah sekeping hati yang dimilikinya.

Tiba-tiba, di tengah-tengah keriuhan itu, muncul seorang tua. Langkahnya perlahan menuju ke arah pemuda tampan. Lagaknya, seolah dia mahu membicarakan sesuatu.

“Wahai anak muda, mengapa kulihat hatimu hampir tidak seindah hatiku?” Orang tua tersebut bertanya dalam nada suara yang agak lemah tetapi penuh keyakinan. Orang ramai dan si pemuda mulai berkeliling mengerumuni orang tua.

Mereka mendengar degup yang kuat tercetus dari hatinya, tetapi hati itu dipenuhi luka. Di satu sisi, kelihatan permukaannya bertampal-tampal. Ada potongan hati yang diambil dan potongan yang lain dimasukkan ke dalamnya, tetapi ia kelihatan tidak berpadanan. Pada satu sudut yang lain, terdapat pula beberapa tanda patah. Bahkan, di beberapa tempat, terdapat lubang yang dalam, di mana seluruh bahagian permukaannya telah hilang.

Melihat itu, orang ramai saling berpandangan.
TERTANYA-TANYA
"Bagaimana orang tua ini boleh mengatakan bahawa hatinya lebih indah?" fikir mereka.
Sementara itu, pemuda tampan tertawa.

"Tentu engkau bergurau, wahai orang tua," katanya.

"Kalau dibandingkan hatimu dengan hatiku, apa yang aku ada ini adalah sangat sempurna, sedangkan kepunyaanmu begitu berantakan dengan bekas-bekas luka dan air mata," lanjutnya lagi.

"Ya, memang benar" tukas si tua penuh kesabaran.

"Kepunyaanmu adalah sempurna, namun aku tidak sesekali akan menukarnya dengan hatimu. Andai saja kau lihat wahai anak muda, setiap bekas luka di hatiku ini mewakili setiap seorang yang telah aku berikan cintaku buat mereka. Aku merobek sepotong hatiku dan memberikannya kepada mereka, dan setiap kali itu juga mereka memberiku sepotong dari hati mereka untuk mengisi tempat kosong di hatiku ini, tetapi kerana potongan-potongan itu tidak tepat, lalu menyebabkan ketidaksempurnaannya, bahkan ia kelihatan kasar dan tidak rata.

Namun, aku tetap menghargainya, kerana pemberian mereka mengingatkanku pada cinta yang terbina bersama antara kami. " Panjang lebar bicara orang tua. Si pemuda tampan terpaku mendengar patah katanya.

"Kadang-kadang aku telah memberikan potongan hatiku, tetapi orang yang kuberikan potongan hatiku itu, tidak memberikan kembali sepotong hatinya kepadaku. Inilah yang mengakibatkan wujudnya lubang-lubang ini. Kau tahu wahai anak muda, sesungguhnya memberikan cinta adalah bermakna memberikan peluang dan kesempatan. Walaupun bekas robekan itu menyakitkan, ia akan tetap terbuka lantas mengingatkanku tentang cinta yang masih aku miliki untuk mereka. Dan aku berharap suatu ketika nanti mereka akan kembali dan mengisi lompong-lompong kosong yang sekian lama kutunggu-tunggu agar ia diisi.

Nah, sekarang fahamkah engkau tentang kecantikan sejati? " Si tua mengakhiri kata-katanya.

Pemuda tampan itu terus terdiam. Dia menundukkan kepala dengan air mata mengalir di pipinya. Dia menghampiri orang tua, mengambil hatinya yang sempurna, muda dan cantik itu dan merobek keluar satu potongan darinya. Dia menawarkan potongan tersebut kepada orang tua dengan tangan gementar.

Si tua itu menerima pemberian tersebut lalu meletakkannya pada hatinya dan kemudian mengambil pula sepotong dari bekas luka lama di hatinya dan menempatkannya untuk menutup luka di hati pemuda itu.

Sungguhpun ia sesuai, tetapi ia tidak sempurna, kerana ada beberapa tanda patahan.
Orang muda itu menatap hatinya yang tidak lagi sempurna tetapi kini lebih indah dari sebelumnya, lantaran cinta dari hati orang tua itu kini mengalir kepada hatinya. Mereka bergandingan dan berjalan bersama meninggalkan orang ramai terus terpaku dengan peristiwa menginsafkan itu.
HATI YANG PALING INDAH
Saya menangis. Seakan terpancar kefahaman di dalam diri ini bagaimana anjuran ‘mencintai’ yang dimaksudkan oleh junjungan mulia, Muhammad SAW menerusi sabdanya yang bermaksud :

“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ia bermaksud, memberi sepenuh hati. 100%. Yang terbaik!

Sebagaimana kita menginginkan yang terbaik buat diri sendiri, begitulah juga sewajarnya yang kita lakukan/berikan kepada orang di sekitar.

Tetapi, dengan satu ingatan. Jangan pula mengharap balasan yang sama, 100% , terhadap apa yang telah diberikan itu, kerana bila pemberian mengharap balasan, maka dibimbangi tiada lagi keikhlasan padanya.

Justeru itu, tidak hairan mengapa Rasulullah SAW diiktiraf oleh ALLAH SWT sebagai semulia-mulia insan. Setelah sekian banyak hinaan, cacian dan penderitaan yang dialami, baginda tetap tampil menyebar salam beserta senyuman.

Tujahan batu-batu, diganti dengan kalungan doa, lemparan najis, diganti dengan untaian budi.

Firman ALLAH SWT :

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya : “Dan sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad ) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” ( Surah al Qalam ayat 4 )

Justeru itu, mari bersama kita usahakan, walau kasih tidak dihargai, kita tetap memberi. Walau khidmat tidak dipeduli, kita terus mencurah bakti.

Ingatlah, andai satu ketika kita tidak mengenal erti kehancuran, kita tidak akan pernah tahu apa yang membuatkan kita utuh dan teguh untuk hari-hari seterusnya.

Yakinlah :

ALLAH mahu mendidik kita, DIA ingin mengingatkan kita bahawa tiada cinta yang sempurna selain cinta-NYA, yang hanya dapat dirasakan oleh pemilik hati-hati yang mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Hati yang sering dilukai lalu sembuh setelah dirawat dengan zikir kepada ilahi, adalah hati yang indah, bercahaya dengan kasih dan sayang dari Yang Maha Esa. Walaupun luka masih ada, namun sifat sabar, reda dan bersedia memaafkan menjadi ‘antiseptik’ yang menahan luka itu dari dijangkiti kuman dendam yang membawa derita berpanjangan.

Akhirnya, bersyukurlah andai memiliki hati yang sering dilukai, kerana dengannya kita belajar menjadi seorang yang lebih mengerti, memahami dan menghargai.


Terus memuhasabah diri ini……

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

SOLATLAH ANAK-ANAKKU


Sekejap-sekejap saya meninjau ke anak tangga. Namun, kelibat Kak Long dan Kak Ngah masih belum terlihat di mata.

“Hmm…dah dekat pukul lima dah ni…” saya berbisik di dalam hati sambil mengerling sekilas jadual waktu solat yang ditampal di pintu bilik.

“40 minit lagi dah masuk maghrib…”saya mencongak-congak sendiri.

Di tingkat bawah, riuh rendah suara anak-anak bermain menerobos masuk ke cuping telinga. Sesekali tercuit juga mendengar telatah mereka berbual dan bergurau. Usik mengusik dan saling berbalas kata hingga banyak kali si kecil Solehah menangis akibat dikenakan oleh kakak-kakak dan abangnya, Khalil.

“Hmmm, asyik betul bermain….” Bisikan di hati bertemali.

Di luar rumah, suasana terang kian kelam. Siang pergi, malam pula mengambil ruang untuk mengabdikan ‘diri’. Bukti ketaatan yang tidak pernah culas kepda Pencipta Yang maha Suci.


MELENTUR BULUH

Biarpun saya dan suami tidak pernah dilatih untuk menunaikan solat ketika kecil oleh kedua ibubapa kami, namun melihat kepada perkembangan kurang sihat di kalangan generasi hari ini, juga tatkala menerima sekian banyak luahan diri, masalah peribadi, pergolakan keluarga, keruntuhan rumahtangga dan seumpamanya yang melibatkan individu-individu yang bermasalah dalam pelaksanaan solat mereka; kami menyimpulkan bahawa penekanan solat sememangnya penting agar kefahaman di sebalik pelaksanaan ibadah solat yang sempurna mampu menatijahkan manfaatnya iaitu sebagai benteng kepada sebarang perlakuan buruk, seterusnya mengukuh jatidiri seorang mukmin bertaqwa dari menghampiri sebarang aktiviti maksiat dan berterusan dalam dosa.

Firman ALLAH SWT :



Maksudnya : “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah salat. Sesungguhnya salat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (salat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” ( Surah al Ankabut ayat 45 )

Kerana itu, saya dan suami meyakini bahawa semua itu dapat dicapai dengan memulakan didikan solat kepada anak-anak sejak kecil lagi, iaitu bila mereka sudah mula menunjukkan minat meniru setiap geraklaku ibu bapa yang biasanya terjadi seawal usia dua tahun lagi.

Melentur buluh biar dari rebungnya, demikian nasihat orang-orang dahulu kala.

Sungguh! Ada relevannya.

Sebelum anak-anak mencecah usia 7 tahun, saya dan suami sendiri bermula hanya dengan ‘mengajak-ajak ayam’ anak-anak agar mereka mahu untuk solat bersama, menghampar sejadah dan memakaikan tudung agar mereka merasa teruja untuk mengikuti pergerakan-pergerakan yang ada di dalamnya.

Betul atau salah cara mereka menunaikan tiang agama itu dari sudut perbuatan, bacaan mahupun bilangan rakaat solat yang ditunaikan pada ketika ini bukan menjadi persoalan kerana objektif utama hanyalah untuk menanamkan minat dan memperkenalkan anak-anak kepada ibadah solat.

Tidak perlu menggunakan kuasa ‘veto’ ibu bapa untuk memaksa anak-anak melakukannya kerana sebarang perkembangan kemampuan anak-anak melakukan gerakan solat akan berlaku hasil dari kematangan proses belajar yang diberikan. Pengalaman dan pelatihan yang berterusan sebenarnya mempunyai pengaruh kepada mereka, bermula dengan didikan asas sejak kecil dan ia akan berkembang selaras dengan pertambahan usia mereka.

Seterusnya, setelah usia anak-anak mencecah 7 tahun ke atas, barulah suami meminta saya untuk mengajar anak-anak berwudu’ dengan cara yang betul, menyemak bacaan solat mereka terutama bacaan-bacaan yang dikategorikan sebagai rukun solat seperti al Fatihah dan tahiyyah, sementara s
emakan lebih serius dan 'digeruni' oleh mereka dilakukan sendiri oleh suami setiap kali selepas solat maghrib.

Manakan tidak, rotan juga 'disediakan'.

Selain itu, kami juga membelikan mereka pakaian solat sebagai satu ransangan dan motivasi yang akan menghadirkan perasaan gembira untuk menunaikan solat bersama-sama.


HUKUMAN

“Abang, kak Long kak ngah belum solat Asar lagi. Dah masuk waktu Maghrib ni. Asyik sangat bermain la tu, sampai lupa waktu,” lapor saya kepada suami di bilik studi.

Seperti biasa, tanpa banyak bicara, suami bingkas bangun dan mengambil penyangkut baju di belakang pintu. Saya hanya memandang. Telah maklum apa yang akan berlaku sebentar lagi.

“Kak long, kak ngah..naik atas kejap.” Dari dalam bilik studi saya mendengar suara suami memanggil. Sejurus, kedengaran bunyi tapak kaki berlarian mendaki satu demi satu anak tangga.

“Dah solat Asar ke belum?” Tanya suami. Tegas. Saya mencuri-curi pandang dari balik daun pintu bilik studi. Terlihat wajah anak-anak menekur lantai anak tangga. Jawapan balas yang diberi juga sayup-sayup masuk ke cuping telinga saya. Lemah. Nada orang bersalah.

“Hulur tangan,” arah suami. Masih tegas dan menggerunkan hati anak-anak yang mendengar. Suami memukul tapak tangan kedua-duanya. Dua kali setiap seorang. Wajah kak long muram. Kak ngah juga demikian.

Pukulan yang tidak begitu kuat, tidak melukakan tetapi cukup sebagai pengajaran dan diharap tersemat kukuh di dalam ingatan.

“Ambil wuduk sekarang.. qada’ solat asar.” Arahan suami masih belum selesai. Kak long dan kak ngah menurut perintah. Saya memandang suami. Suami juga melihat ke arah saya. Kami saling berpandangan. Penuh makna.

Kami sentiasa memikirkan bagaimana sensitiviti anak-anak di luar pandangan dan ingatan kami, adakah mereka akan kekal patuh dan ingat kepada tanggungjawab mereka?


GALAKAN DAN CEGAHAN

Sememangnya melatih dan mendidik anak-anak untuk melazimi solat fardu yang lima bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, konsentrasi dan komitmen yang tidak berbelah bagi dari kedua ibu bapa. Baik suami, juga isteri, kedua-duanya perlu saling bekerjasama dan tidak bertelagah dalam menentukan corak didikan terhadap anak-anak.

Amat membimbangkan apabila saya pernah membaca di dada akhbar beberapa tahun dahulu, peratusan umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah solat fardu lima waktu dengn sempurna. Laporan tersebut merupakan hasil kajian seorang pakar motivasi terkenal tanahair, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah. Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini.

Justeru itu, saya dan suami bersetuju untuk melaksanakan peraturan baru dalam didikan solat anak-anak kami terutama kepada kak long dan kak ngah yang telah menjangkau usia 9 dan 11 tahun pada tahun ini.


Jika ketika mereka kecil, saya dan suami hanya mengajak dan memberi galakan, tetapi sebaik sahaja mereka melangkah usia mumayyiz, kami mahu melihat keinginan untuk solat itu bukan terhasil dari suruhan atau perintah ibu bapa, sebaliknya ia hadir dari kesedaran mereka terhadap penunaian solat sebagai satu kewajipan yang mesti dilaksanakan ke atas setiap muslim yang taat kepada TUHAN ar Rahman.

Peraturan tersebut ialah kami tidak lagi mengingatkan mereka setiap kali waktu solat tiba. Pada tahap ini, saya dan suami cuba untuk menyemai mujahadah ( kesungguhan dari diri sendiri ) pada diri anak-anak agar pemahaman dan ilmu yang ada tentang solat dapat diakui oleh hati.

Tambahan lagi waktu solat di UK ini yang sering berubah-ubah mengikut musim, menyebabkan perlu sentiasa peka dan berawas sentiasa dengan masa. Berbeza dsekali dengan waktu solat di malaysia, waktu di sini boleh berbeza 1 - 6 minit setiap hari. Lebih megelirukan apabila waktu diawal dan dilewatkan sejam kerana perubahan musim panas dan sejuk. Bukan anak-anak sahaja yang keliru, malah orang dewasa yang baru sampai ke UK juga begitu.

Untuk lebih membantu anak-anak tanpa meninggalkan mereka begitu sahaja, suami menampal jadual waktu solat di pintu bilik mereka. Jika masih leka dengan bermain dan sebagainya, sehingga solat tidak ditunaikan di dalam waktunya, maka kami akan mengenakan hukuman ringan sebagai satu pelaksanaan kepada gesaan dari hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :


“Suruhlah anak-anakmu solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka jika meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun..” ( Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud )


POHON PENILAIAN

“Cuba kak long, kak ngah tengok gambar ni.” Saya berkata sambil menghulurkan dua keping gambar tidak berwarna kepada mereka.

Kak long dan kak ngah segera mengambil dan mengamati gambar-gambar yang diberikan.
Gambar pertama merupakan lakaran sebatang pohon dengan tujuh dahan yang dipenuhi lima helai daun dan sebiji buah pada setiap satunya, manakala gambar kedua, juga merupakan lakaran sebatang pokok tetapi lebih besar dengan dahan yang lebih banyak dari yang pertama.

“ Ni untuk apa Ummi. Ala, dalam bahasa arab. Kak ngah tak faham..” balas kak ngah sedikit mengeluh tatkala melihat tulisan yang tertera pada gambar di hadapannya bukan di dalam bahasa melayu atau inggeris.

“Apa kak long, kak ngah kena buat dengan pokok-pokokni Ummi?” kak long pula menyoal. Tergambar keterujaan pada riak wajahnya.

“Ini jadual penilaian namanya, untuk solat fardu, subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak...cukup lima kali sehari semalam, tapi dalam bentuk sebatang pokok. Gambar pokok yang pertama ni untuk penilaian seminggu, yang kedua ni pula untuk sebulan,” saya menjelaskan.

“Dengan pokok’ ni kak long dan kak ngah boleh tengok bagaimana penjagaan solat sehari-hari. Adakah dah jaga masa solat dengan baik atau tidak. Cuba tengok ni...” saya mengarahkan tumpuan ke bahagian bawah helaian tersebut.

Di situ tertera panduan mudah bagaimana pokok penilaian itu diaplikasikan.

“Kalau kak long, kak ngah solat awal waktu, tak lewat atau terlepas, daun pada dahan ini kak long dan kak ngah warnakan dengan warna hijau. Kalau lambat atau dah habis waktu, baru nak solat…warna daun diwarnakan dengan kuning. Kalau banyak daun hijau, itu tandanya solat kak long, kak ngah bagus. Tambah pula dengan gambar buah-buah ni yang diwarnakan dengan warna merah kalau kak long dan kak ngah ada buat perkara-perkara baik.

Wah! Tentu cantik pokok kak long dan kak ngahkan?” jelas saya lagi.

Kedua-duanya tersenyum-senyum senang hati.

“Kalau kita tengok pokok yang daunnya warna hijau, kan cantik. Segar je. Orang lain pun boleh duduk di bawahnya ketika panas sebab redup. Berbanding pokok-pokok yang daunnya warna kuning…tanda layu dan nak gugur. Lama-lama tak ada daun, tinggal batangnya je…” tambah saya panjang lebar.

“Haah…macam daun-daun masa autumn kat UK ni kan Ummi…” kak long tersengih menampakkan gigi. Saya menganggukkan kepala mendengar kata-katanya.

“Dan lagi, bila habis je seminggu dan ummi tengok ‘pokok penilaian ‘solat kak long kak ngah penuh dengan daun-daun hijau, ummi akan beri setiap seorang 50pence (= RM 2.30) sebagai hadiah. Simpan dalam tabung tau…but please don't forget, kak long dan kak ngah perlu jujur dengan diri sendiri....macam tadi, tak bohong bila ayah tanya dah solat asar atau belum.

Walaupun kak long dan kak ngah dah tahu, kalau lewat dan tertinggal waktu solat kena hukum. Orang yang solat, sentiasa berusaha bercakap benar. Apa hadis yang kak long, kak ngah hafal tu?" saya mengambil kesempatan menduga ingatan kedua-duanya.

"عليكم بالصدق , always be truthful.." jawab kedua-duanya serentak.

"Alhamdulillah. Be honest ok,” saya mengakhiri kata-kata sambil menghadiahkan senyuman manis buat anakanda berdua.
Dalam pada itu, saya teringat suami pernah membuat kejutan selepas merotan keduanya kerana terlepas waktu solat, namun kemudian menganugerahkan £2 kepada mereka sebagai penghargaan bercakap benar. Lebih-lebih lagi, saya baru sahaja memaklumkan kepada suami bahawa keduanya sangat ingin membeli buku cerita sempena pesta buku di sekolah.

Kelihatan terubat kesedihan mereka dengan anugerah yang tidak disangka itu.

"Ingat.. lain kali kalau tertinggal solat, kena rotan..kalau cakap benar pun tak ada hadiah lagi tau" tegas suami kepada mereka.


MENJAGA FITRAH

Sesungguhnya tiada sebab lain dari semua yang saya dan suami lakukan di atas melainkan ia adalah sebagai satu usaha dari saya dan suami untuk menjaga fitrah anak-anak agar tidak terpengaruh oleh hal-hal negatif sebagaimana maksud dari sabda baginda SAW yang lain :

“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah ( suci ). Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi “. ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Setiap ibu bapa seharusnya menginsafi bahawa melalui metod latihan solat yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan mungkin wang ringgit ini, ia tidak lebih adalah sebagai langkah awal untuk memperkuat fitrah ilahiyah yang wujud sejak azali di dalam diri setiap manusia. Ia disubur dan dikembangkan melalui pelaksanaan lima rukun islam yang disyariatkan oleh ALLAH SWT di mana salah satu darinya ialah ibadah solat fardu yang lima.

Untuk itu, usaha selanjutnya harus dikembangkan kepada kesedaran untuk meningkatkan kualiti solat, sehingga dengannya, ia mampu mencegah anak-anak dari perbuatan keji dan mungkar. Kualiti ini secara lahiriahnya terungkap dari bagaimana nilai-nilai solat itu ‘hidup’ dalam diri individu yang mendirikannya. Mereka yang solat dengan pelaksanaan yang benar, akan mampu menjaga waktu, memiliki taqwa kepada ALLAH dengan menjaga tingkah laku, memelihara lidah dari berkata yang sia-sia dan menipu, serta merasakan pengawasan ALLAH pada setiap ketika, walau di mana mereka berada.

Andai iman itu seumpama akar tunjang bagi sepohon pokok, maka solat pula diibaratkan sebagai batangnya.

Syari’at Islam yang syumul tidak akan dapat disempurnakan sebaiknya jika solat tidak didirikan. Justeru itu solat berperanan sebagai tiang agama.

Sesiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama.

Benarlah sabda baginda junjungan yang maksudnya :

"Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi." (Riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).


SOLATLAH ANAK-ANAKKU

“Ummi, ummi…tadi kat sekolah Kak Ngah dah cakap pada Miss Bodycote…” Petang itu, sebaik selesai mengerjakan solat Zohor dan Asar, Kak Ngah menyapa saya yang sedang membasuh pinggan dan mengemas dapur.

Mendengar kata-katanya, saya menoleh. Selalunya bila Kak Ngah berbicara tidak jelas sebegitu, dia mahu berbual dan bercerita.

“Kak Ngah cakap apa pada cikgu?” saya menyoal. Menurut agakan saya, tentu perkara yang dibicarakan itu hanya berkaitan kerja-kerja sekolahnya sahaja. Akan tetapi…

“Pasal solat la Ummi..” Kak Ngah menjawab.
“Solat?” Saya mengerutkan dahi.

“Ye la Ummi…sekarang kan waktu sembahyang dah cepat…jadi Kak Ngah pun cakaplah pada cikgu Kak Ngah : Miss Bodycote, the time to pray for muslim is getting early, so we don’t want to miss prayer, we need a place in school to pray , in a clean place, we will bring our praying mat to school. “ Kak Ngah bercerita sambil penuh ekspresi memek muka.

Saya tersenyum tanpa bicara. Seungkap kalimah tahmid merecup indah menyelimuti jiwa.

Sekalung doa menyusul ke hadrat Yang Maha Esa :
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء
“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.”(Surah Ibrahim ayat 40 )

Solatlah anak-anakku....

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.