Wednesday, October 20, 2010

KALKULATOR CINTA

Dalam duduk bersendiri melayan mata yang belum mengantuk malam tadi, hati saya berbisik sendiri.

Berulangkali.

Membaca beberapa komen teman-teman lewat status saya di fb, semakin menambah kekuatan saya berimaginasi.

Angan-angan saya, alangkah baiknya, jika ada satu alat yang berfungsi seperti sebuah mesin kira-kira, yang boleh digunakan untuk aktiviti tambah, tolak, darab dan bahagi. Cuma kelainannya ialah subjek yang dihitung bukanlah satu benda, tetapi adalah sebuah cinta.

‘Kalkulator cinta’.**

Saya cuba membayang-bayangkan aplikasinya.

Andai seorang suami melafazkan puji-pujian kepada isteri tersayang, disertai ucapan, I love you my dear, maka aktiviti tambah akan berlaku kepada kalkulator cinta mereka. Ini kerana, ucapan cinta menambah bahagia, membuatkan seorang isteri rasa dikasihi dan dihargai.

‘Suami, ucapan cinta, romantik + CINTA = isteri gembira = rasa bahagia.

Saya berangan-angan lagi.

Andai seorang suami menegur gaya berpakaian isteri sebelum keluar membeli di pasar tani dengan kata-kata : ‘Cantiknya awak hari ni! Macam nak pergi mengurat mamat benggali!’. Maka aktiviti tolak akan berlaku kepada kalkulator cinta mereka. Ini kerana, kata-kata yang kasar amat dibenci oleh seorang isteri, walaupun teguran yang diberi adalah benar demi kasih dan cinta suami kepada isteri.

‘Suami, sindir, perli – CINTA = isteri terasa hati = masam mencuka wajahnya sehari.


HATI SEORANG ISTERISaya sebenarnya tidaklah terlalu serius memikirkan keperluan wujud atau tidak alat sedemikian. Sekadar berfikir separa santai dalam menanggapi sekian banyak kemelut rumahtangga yang berlaku hari ini.

Salah satu darinya diutarakan melalui ruangan komentar pada artikel, JANGAN BERHENTI BERKENALAN : Renungan buat suami dan isteri. Beliau yang menamakan diri sebagai Lynn meluahkan isi hati :
“Saya suka membaca perkongsian ini. Saya sedang menghadapi kemelut rumahtangga.Sudah sekian lama berkahwin (hampir 5 tahun), suami tidak pernah memujuk, berbual, berkomunikasi (hanya bila mahukan hubungan intim) malah tidak pernah memberitahu apa yang disukai atau apa yang tidak disukai.

Saya bagai hidup dengan ‘stranger’ setiap hari saya menangis mengenangkan hal ini. Saya tidak mahu ‘selfish’, anak saya sudah 3 orang walau saya masih muda (belum menjangkau 30 tahun). Saya sayangkan rumahtangga ini dan anak-anak, cuma sedih kerana rasa langsung tidak dihargai kecuali bila suami mahukan hubungan intim. Saya bukan wanita berkerja, saya korbankan karier untuk mencurahkan sepenuh perhatian kepada suami dan anak-anak. Dunia saya hanya suami dan anak-anak. Bila jadi begini, saya rasa amat tertekan dan rasa ‘useless’. Apa yg patut saya buat/fikirkan?
Banyak kali saya berbincang dengan suami namun jawapan yang diberikan hanya 1 :

"Maaf abang tak tahu nak cakap apa.”
Saya sangat kecewa. Saya tak pernah berhenti berdoa dengan harapan suami akan menyayangi saya.

Saya pernah suarakan, jika suami mempunyai kekasih hati/pilihan lain saya izinkan dia berkahwin. Mungkin suami akan berubah kepada yang lebih baik dengan cara ini tapi tiada jawapan dari suami dan hubungan kami berterusan hambar beku seperti ini.

Harap ustazah sudi memberikan pandangan.

WANITA DAN KATA-KATA CINTA
Saya bersimpati dengan kemelut perasaan yang sedang dihadapi oleh Puan Lynn. Sebagai seorang wanita, saya maklum, belaian jiwa dari seorang suami yang dijelmakan melalui kata-kata seperti ucapan sayang, bicara yang lembut, mahupun sekadar lafaz terima kasih, banyak memberi kesan dan ransangan yang positif terhadap keutuhan rumahtangga yang dibina.

Isteri mana yang tidak bahagia dengan kata-kata yang menggambarkan penghargaan dari suami tercinta. Sesaat lafaz sayang diperdengarkan, sudah cukup meredakan keletihan isteri berbakti untuk anak-anak dan suami. Sepatah ucapan terima kasih diberikan, sudah cukup menjadi penawar yang meredakan resah isteri berdepan rutin yang sama di kebanyakan hari.

Hanya semudah itu, seorang suami dapat mengungguli emosi isteri yang dikasihi. Ia tidak banyak memakan masa, menagih kudrat dan tenaga dan tidak juga menelan belanja yang tidak terjangka nilainya.

Cukup hanya sekadar kata-kata mesra.

Namun begitu, sebagaimana kata-kata yang saya titipkan di laman fb, sebagai peringatan kepada teman-teman, juga untuk tatapan dan renungan diri sendiri, saya menukilkan :

“ALLAH SWT tidak memberikan semua yang kita inginkan, tetapi DIA memberi apa yang kita perlukan.”

Saya akur, bukan semua wanita, bertuah dapat menikahi jejaka yang ‘cukup’ serba serbi. Seorang yang soleh dan bertaqwa, pandai pula berlawak jenaka, mahir memikat dengan aksi dan gaya yang menambat sukma, juga bertanggungjawab terhadap anak dan isteri di bawah seliaannya.

Tidak semua lelaki memiliki pakej lengkap sebegini!

Kerana itu, saya melontarkan satu persoalan :

“…antara suami yang romantik dan bertanggungjawab, yang manakah menjadi dambaan?”

IF MAN COULD TALK
Demikian satu judul buku yang dikarang oleh, Dr Alon Gratch, seorang pakar psikologi klinikal dan juga seorang pensyarah di dalam bidangnya. Beliau banyak menulis untuk pelbagai penerbitan termasuk New York Times dan Wall Street Journal.

Manurut Dr Gratch, lelaki bukan tidak boleh berbicara, hanya saja mereka lebih mudah berkata-kata dengan bahasa yang berbeza. Tidak sebagaimana kaum perempuan, yang umumnya terbuka dengan perasaan mereka, kebanyakan lelaki merasa sangat sulit untuk ‘membuka’ diri untuk orang lain. Oleh sebab itu, pada dasarnya, kaum lelaki sering terlihat jauh dan terasing serta sukar difahami, atau dalam banyak keadaan, agak keras dan menjengkelkan.

Oleh kerana itu juga, lelaki lebih mudah mewakilkan luahan kasihnya melalui sejambak bunga, atau paling tidak mereka akan memilih sekeping kad yang telah dipenuhi dengan berbaris ayat dan madah pujangga supaya ruang untuk mereka menulis menjadi lebih terhad dan tidak terlalu luas.

Justeru, saya berpandangan bahawa seorang isteri yang sentiasa menginginkan kebahagiaan dan ketenangan di dalam rumahtangganya pasti akan berusaha mengerti, meneliti secara jujur dan yakin diri bahawa tanda-tanda cinta seorang suami terhadap isteri ada pelbagai sudut dan segi.

Kasih sayang seorang suami bukan hanya boleh dinilai dengan kata-kata cinta dan ucapan mesra semata-mata ( verbal ), akan tetapi lebih penting dari itu ia harus dibuktikan melalui perbuatan dan tingkahlaku ( non-verbal ).

Kasih sayang, sama ada ia boleh diimplimentasikan dengan kalimah indah dan menyejuk jiwa, ia juga boleh dijelmakan dari perilaku yang baik, pandangan yang mendamaikan, juga sentuhan dan belas ihsan. Dan yang paling utama, peranan dan tugasnya sebagai ketua keluarga telah dilaksana sebaik-baiknya.

Walau tanpa bicara, ia cuba untuk menterjemahkan perasaan dalamannya yang dipenuhi rasa cinta dan kasih mesra terhadap isteri dan cahaya matanya dengan cara yang diyakininya. Sungguhpun cara ini mungkin kelihatan agak sederhana pada penilaian ramai wanita, tetapi ia tetap bernilai secara makna, lebih-lebih lagi kepada sebuah institusi keluarga.

Justeru itu, pandanglah keadaan ‘tanpa suaranya’ ini sebagai satu kelebihan, kerana seorang suami yang memiliki upaya sebegini adalah seorang suami yang punya keistimewaan tersendiri. Dia sebenarnya seorang yang penyayang tetapi kasihnya ditunjukkan dalam diam. Tanpa bicara, tidak melalui kata-kata.


BAHASA TUBUH RASUL JUNJUNGANRasulullah SAW sendiri sebagai contoh tauladan terbaik seorang suami yang menyintai dan menghargai isteri, banyak menunjukkan kasih sayangnya dalam bentuk non-verbal ini. Situasi ini dapat dilihat dari sekian banyak hadis-hadis baginda, di antaranya :

1. Bersegera menemui isteri jika tergoda. Dari Jabir, sesungguhnya Nabi SAW pernah melihat seorang wanita, lalu baginda masuk ke tempat Zainab, lantas baginda menumpahkan keinginan baginda kepadanya. Setelah itu, baginda keluar dan bersabda : “Bila seseorang di antara kamu melihat seorang wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya, kerana pada diri isterinya itu ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita tersebut." ( Hadis riwayat Tirmidzi )

2. Bergiliran minum pada tempat yang sama. Dari 'Aisyah r.a, dia berkata : "Aku biasa minum dari cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat aku meletakkan mulutku, lalu baginda minum, kemudian aku mengambil cawan, lalu aku menghirup isinya, kemudian baginda mengambilnya dariku, lalu baginda meletakkan mulutnya pada tempat aku meletakkan mulutku, lalu baginda pun menghirupnya." ( Hadis riwayat 'Abdurrazaq dan Sa'id bin
Manshur)

Hadis-hadis di atas menggambarkan betapa indah kemesraan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada isteri baginda, sekaligus menyatakan bahawa Islam sangat mementingkan komunikasi non-verbal ini, kerana sememangnya bahasa tubuh, dalam banyak situasi dan kondisi, lebih efektif menyatakan cinta dan kasih sayang antara suami isteri.


PRO-AKTIFSaya bersetuju, andai menginginkan suami romantik, tidak salah jika isteri yang memulakan langkah pertama. Bersikap pro-aktif dalam persoalan rumahtangga dan kebahagiaan ikatan perkahwinan tidak akan merugikan pihak isteri. Sebaliknya, bak kata pepatah Inggeris :

‘What you give, you get back’.

Dengan senyuman yang manja, sentuhan yang lembut diiringi tutur kata yang sopan bersahaja, pasti dapat menjadi pemangkin buat seorang suami yang pendiam untuk berbicara sepatah dua.

Walau masa yang diambil, mungkin bertahun lamanya, namun usaha yang ikhlas kerana ALLAH, demi kelansungan ikatan perkahwinan dan keharmonian rumahtangga, pasti akan beroleh bantuan dari Yang Maha Esa. Memang tidak mudah, tetapi dengan kesabaran dan mujahadah beserta penyerahan yang tuntas kepada ALLAH, segalanya impian akan menjadi nyata, InsyaALLAH.

Ini sifir yang saya yakini ketepatannya.

Selebihnya, mungkin perkongsian pengalaman dari dua wanita ini, dapat membuka mata dan hati wanita lain yang membaca.

Itu harapan saya.


KALKULATOR CINTA
Akhirnya, buat Puan Lynn dan para isteri di luar sana, saya suka berkongsi beberapa ayat yang sangat memberi kesan kepada diri ini untuk terus memuhasabah sikap, tindakan dan perlakuan saya sehari-hari, terutama dalam menunaikan hak suami dan pelaksanaan tanggungjawab sebagai isteri.

Firman ALLAH SWT :

وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَإِن كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا وَكَفَى بِنَا حَاسِبِينَ

Maksudnya : “Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala) nya. Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan.” ( Surah al Anbiya’ ayat 47 )


Maksudnya : ”Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.” ( Surah al-Israa ayat 13 )

اقْرَأْ كَتَابَكَ كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا

Maksudnya : "Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu." ( Surah al-Israa ayat 14 )

Saya mengakhiri coretan di ruang fb dengan komen balas berisi sedikit renungan buat diri sendiri dan teman-teman :

“Dalam mempersoalkan tentang hak, adalah lebih baik kita ( isteri ) bertanyakan diri tentang tanggungjawab yang kita telah, sedang dan akan berikan buat yang berhak ( suami).

Fokus kepada apa yang kita perlu buat sebagai seorang isteri dari menumpukan kepada apa yang kita patut dapat dari seorang suami.

Bimbangnya diri ini, andai di akhirat nanti, kita menjadi musuh kepada diri sendiri atas kecuaian dan kelalaian sebagai isteri ketika hayat di dunia ini.”


Realitinya, kalkulator cinta suami isteri di dalam Islam tidak berkisar sekadar luahan cinta dan kata-kata yang indah membelai jiwa semata. Ia tidak terhenti hanya pada kiraan secara lahiriah dan fizikal sahaja, tetapi ukuran cinta yang hakiki adalah berlandaskan taqwa, ikhlas dan menuruti sunnah Nabi yang diperakui Ilahi. Keredhaan ALLAH, matlamat utama cinta mereka. Walau sekecil apa pun usaha yang dilakukan demi menjamin ikatan yang ada tidak terlerai dan bubar, ia pasti diberikan ganjaran setimpal oleh Yang Maha Esa.


Ya Allah, Engkau mengetahui bahwa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta
pada-Mu, telah berjumpa pada menunaikan ketaatan pada-Mu, telah bersatu dalam
berdakwah untuk kembali pada-Mu, telah berpadu dalam membela syariat-Mu.
Kukuhkanlah ya Allah ikatannya. Kekalkanlah cintanya. Tunjukilah jalan-jalannya.
Penuhilah hati-hati ini dengan nur-Mu yang tidak pernah pudar. Lapangkanlah
dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepada-Mu dan keindahan bertawakal di
jalan-Mu.

Ameen ya rabbal alamin.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

Mutiara kata...renung-renungkan dan selamat beramal....

Tanyalah diri setiap hari "Apakah yang boleh aku lakukan untuk menjadi diri lebih bernilai? sama ada dari sudut ilmu, amalan & sumbangan". Visualize yourself not as you are, but as you can be. Kemudian, jangan bertangguh untuk mengubahnya, lakukannya walau sedikit

apakah hukum ‘oral sex' ?

petikan ...Untuk Di Kongsi Bersama....
.....................................................................


Ustaz, apakah hukum ‘oral sex' ? atau dalam kata lainnya seks menggunakan mulut iaitu dengan menghisap atau menjilat kemaluan isteri atau mengulum kemaluan suami. Bagaimana pula jika ia dilakukan oleh pasangan kekasih yang belum berkahwin, adakah ia zina? Jika tertelan air mani suami pula ustaz, bagaimana ye?..Terima kasih atas jawapan ustaz.

- Anak Empat -


JAWAPAN

Allah s.w.t menciptakan tubuh manusia dengan fungsi masing-masing. Justeru Islam melarang dari mendatangi isteri dari ‘duburnya' dan juga semasa haid atau nifas, kesemua pengharaman ini mempunyai dalil dan nas yang khusus. Namun isu ‘oral seks' tidak mempunyai dalil khusus yang melarang, ini menyebabkan berlakunya perbezaan pendapat di kalangan ulama Islam.

Ulama sepakat bahawa jika sekadar menyentuh atau menggosok kemaluan suami dan isteri tanpa ‘oral seks', adalah dibenarkan menurut para ulama Islam kerana ia tergolong dalam bentuk aktiviti menaikkan syahwat antara suami isteri yang diharuskan.

Berkenaan isu oral seks, ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-

Yang mengharuskan :

Dr Syeikh Yusof Al-Qaradawi (rujuk www.islamonline.net) berfatwa harus untuk mencium kemaluan isteri atau suami dengan syarat tidak menghisap atau menelan apa jua cecair yang keluar darinya. Menelan atau menghisap sebegini adalah MAKRUH disisi Islam kerana ia salah satu bentuk perlakuan zalim (meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya) dan melampaui batas dalam hubungan seksual.

Apa yang pasti diharamkan menurut beliau adalah ‘anal sex' atau seks melalui lubang dubur, kerana terdapat nas yang jelas mengharamkannya, adapun ‘oral seks' tiada sebarang nas jelas dari Al-Quran dan hadis yang melarangnya.

Pandangan ‘harus' atau boleh dilakukan ini dikongsi oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Al-Jumaah dan juga Dr. Sabri `Abdul Ra'ouf (Prof Fiqh di Univ Al-Azhar) apabila mereka menegaskan, tindakan ini harus selagi mana ianya benar-benar dirasakan perlu bagi menghadirkan kepuasan kepada pasangan suami dan isteri, terutamanya jika ia dapat menghindarkan pasangan ini dari ketidakpuasan yang boleh membawa mereka ke lembah zina kelak.

Perbincangan ringkas

Namun begitu, saya kira kesemua mereka yang mengharuskan termasuk Syeikh Yusof Al-Qaradawi tidak pula menghuraikan satu isu yang mungkin boleh dipanjangkan perbahasannya, iaitu bab kenajisan air mazi dan air mani.

Justeru, saya mengira fatwa beliau mungkin boleh digunakan jika dalam keadaan tiada sebarang cecair dikeluarkan semasa aktiviti oral sex ini dilakukan. Namun keadaan ini dikira sukar berlaku kerana bagi seseorang yang normal, nafsu yang meningkat pastinya akan mengeluarkan cecair pelincir iaitu mazi.

Air mani lelaki dan wanita dianggap najis menurut mazhab Hanafi dan Maliki. Mazhab Syafie dan Hanbali pula mengganggapnya suci.

Namun semua ulama bersetuju air mazi adalah najis. Hasilnya, majoriti pandangan ulama yang menyatakan menelan dan hisap termasuk cecair mazi ini adalah haram atau makruh berat. Beberapa ulama kontemporari menegaskan perlu membasuh dengan segera jika terkena mazi tadi.

Mazi ibarat najis lain yang dianggap kotor dalam Islam, justeru haram memakan tahi, meminum air kencing dan termasuk juga air mazi ini. Bukan sekadar haram memakan najis malah ulama empat mazhab juga memfatwakan haram menjual najis (kecuali diketika wujudnya teknologi untuk menggunakannya sebagai baja), apatah lagi untuk menjilat, hisap dan menelannya. Sudah tentulah ia lebih lagi diharamkan.

Selain itu, menurut undang-undang Malaysia juga ia adalah satu perara yang tidak normal, khusus buat orang yang agak luar biasa nafsunya.

"Oral seks" juga tergolong dalam kategori perlakuan seks luar tabie, ia adalah salah menurut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sebat dan 20 tahun penjara.

Justeru, mana-mana pasangan kekasih yang melakukan perkara ini, boleh dilaporkan dan diambil tindakan oleh undang-undang Malaysia. Dari sudut undang-undang Islam, ia dikira berdosa besar dan bolehlah dijadikan sebat dan 20 tahun penjara tadi sebagai peruntukan ta'zir di dalam Islam bagi mereka yang sabit bersalah.

Ulama Yang Mengharamkan

Kebanyakan ulama Saudi mengharamkan perbuatan ini, ini dapat dilihat dari fatwa-fatwa berikut [1] :-

Mufti Saudi Arabia bahagian Selatan, Asy-Syaikh Al`Allamah Ahmad bin Yahya An-Najmi menjawab sebagai berikut,

"Adapun hisapan isteri terhadap kemaluan suaminya (oral sex), maka ini adalah haram, tidak dibolehkan. Ini Kerana ia (kemaluan suami) dapat memancarkan mani, mazi dan lain-lain. Kalau memancar, maka akan keluar darinya air mazi yang ia najis menurut kesepakatan (ulama'). Apabila (air mazi itu) masuk ke dalam mulutnya lalu ke perutnya maka boleh jadi akan menyebabkan penyakit baginya.

Melalui pandangan ini, kita dapat melihat satu point yang penting, iaitu sejauh mana tindakan ini boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan pasangan. Menurut pembacaan saya, ulama yang membolehkan perilaku ini juga bersetuju untuk mengganggapnya haram jika dapat dipastikan dan dibuktikan dari sudut saintifik, ia boleh membawa bakteria dan menyebabkan penyakit yang serius.

Saya teringat pakar sakit puan, Dr Ismail Thambi pernah menyatakan bahawa bakteria yang berada di mulut adalah sangat banyak berbanding di kemaluan, justeru beliau menyatakan tindakan ‘oral sex' dibimbangi boleh membawa penyakit kemaluan disebabkan bahagian mulut pasangan yang mempunyai banyak bakteria dan kuman.

Selain itu, seorang lagi ilmuan Islam iaitu Syeikh Nasiruddin Albani berkata :-

"Ini adalah perbuatan sebahagian binatang, seperti anjing. Dan kita mempunyai dasar umum bahawa di dalam banyak hadits, Ar-Rasul melarang untuk tasyabbuh (menyerupai) haiwan-haiwan, seperti larangan beliau turun (sujud) seperti turunnya unta, dan menoleh seperti tolehan serigala dan mematuk seperti patukan burung gagak. Dan telah dimaklumi pula bahawa Nabi Shallallahu `alahi wa sallam telah melarang untuk tasyabbuh (menyerupai) dengan orang kafir, maka diambil juga daripada makna larangan tersebut pelarangan tasyabbuh dengan haiwan-haiwan-sebagai penguat yang telah lalu, apalagi haiwan yang telah diketahui keburukan tabiatnya. Maka sewajarnya seorang muslim - dan keadaannya seperti ini - merasa tinggi untuk menyerupai haiwan-haiwan"

Namun, pendapat peribadi saya mendapati pandangan dan dalil yang digunapakai oleh Syeikh Albani ini adalah tidak begitu kukuh, namun saya tidak berhasrat untuk membincangkannya dengan panjang lebar di ruang ini.

Tindakan men‘generalize' semua jenis persamaan (tasyyabbuh) sebagai haram secara total juga boleh didebatkan kesohihannya. Demikian juga menyamakannya dengan perilaku binatang, benarkah binatang melakukan ‘oral seks'?, jika sekadar menjilat mungkin ye, namun menghisap kemaluan si jantan? Adakah binatang yang melakukannya?. Saya tidak pasti. Bagaimana pula binatang ada juga yang mencium dan memeluk pasangannya. Adakah mencium dan memeluk juga diharamkan kerana menyerupai binatang.? Sudah tentu tidak.



KESIMPULAN

Melalui perbincangan dan pendedahan ringkas di atas, jelas kepada kita perbezaan dua kumpulan ulama ini. Dari hasil penelitian terhadap pendapat mereka bolehlah saya rumuskan bahawa :-

1) Elok dijauhi aktiviti ini dan menghadkan kepada perilaku seks yang lebih sihat bersama pasangan. Ini bagi menjauhi perklara khilaf.

2) Harus bagi suami isteri untuk mencumbu kemaluan pasangan mereka dengan syarat tidak menghisap, jilat dan menelan apa jua cecair. Ia juga dituntut untuk membersihkan mulut dan kemaluan mereka sebelum melakukan aktiviti ini sebaik mungkin bagai meninimakan kemungkinan penyakit. Namun ia makruh yang cenderung kepada haram (makruh tahrimi) jika perbuatan ini sengaja untuk meniru-meniru perbuatan aksi seks melampau golongan bukan Islam dan juga binatang.

3) Haram hukumnya menelan mazi dan mani pasangan kerana Islam mengharamkan umatnya dari melakukan perkara kotor sebegini, sama juga seperti diharamkan menjual najis (kecuali baja yang akan diproses melalui dengan bahagian kimia)

4) Hukumnya menjadi harus berdasarkan keringanan khusus yang diberi oleh Islam atau disebut ‘rukhshah' kepada pasangan yang amat perlukannya bagi mengelakkan ketidakpuasan dan membawa masalah besar rumah tangga atau lebih dahsyat lagi, zina secara rambang diluar rumah.

5) Hukum melakukannya bersama pasangan kekasih atau mana-mana pasangan sebelum nikah yang sah adalah haram, dosa besar dan boleh didakwa dengan hukuman 20 tahun penjara di Malaysia. Namun ia tidak dianggap berzina dalam erti kata dan takrif zina yang disebut di dalam kitab-kitab Fiqh Islam. Ia hanya dianggap sebagai muqaddimah zina atau perdahuluan zina. Dalam kaedah fiqh Islam, "Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adalah haram jua"

Sebagai akhirnya, selain dari membincangkan soal hukum, kita mesti jelas bahawa hukum Islam sentiasa ingin melahirkan keutuhan rumah tangga dan masyarakat. Kita mesti sedar dan berfikir samada tindakan oral seks ini benar-benar membawa sesuatu yang berharga buat keharmonian rumahtangga kita, dan apa pula kesannya kepada nafsu diri. Adakah ia semakin mampu dikawal atau semakin buas sebenarnya.

Kita bimbang, tindakan ini boleh membawa kepada keinginan nafsu yang semakin membara dan tidak terkawal sehingga membhayakan diri dan masyaarakat di sekeliling kita disebabkan nafsu buas dan luar biasa yang sentiasa dilayan ini. Layanlah nafsu secara berpada-pada agar tidak ditawan olehnya kelak. Fikirkan...

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

19 Muharram 1429 H

28 Januari 2008

bersua kembali

alhamdulilah...akhirnya dapat kembali meneruskan coretan di blog ku ini....setelah sekian lama ...aku mengigati password utk masuk ke blog ini..ha..ha..ha...ini di katakan faktor usia..